Tuesday, October 21, 2008

'Anugerah Datuk kepada Shah Rukh Khan memalukan negara'


PENGURNIAAN Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan, menerima kritikan pedas daripada Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang menganggapnya sesuatu yang memalukan negara. Beliau berkata, rakyat tidak melihat sebarang jasa yang disumbangkan Raja Bollywood itu sehingga layak dikurniakan anugerah sempena sambutan Hari Jadi ke-70 Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, seperti yang diumumkan baru-baru ini. "Apa jasa yang sudah Shah Rukh Khan sumbangkan kepada negara sehingga beliau layak dianugerahkan gelaran Datuk. Ini sangat memalukan.
"Saya syorkan anugerah bintang ditarik balik kerana tiada jasa yang beliau sumbangkan. Ramai lagi anak Melaka yang berjasa atau seniman tanah air yang layak diberikan anugerah ini. "Kalau tidak ditarik balik saya bimbang ada orang yang tidak akan menang sebagai Timbalan Presiden," katanya yang merujuk kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dicalonkan untuk jawatan berkenaan, ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009. Shah Rukh Khan yang terkenal dengan filem Kuch Kuch Hota Hai, dijangka ke Melaka bulan depan untuk menerima gelaran itu. Sebelum ini, Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Saadon Basirun, berkata penganugerahan itu adalah bagi menghargai sumbangan Shah Rukh Khan terhadap perkem-bangan pesat industri filem Hindustan di rantau ini, termasuk Malaysia.