KISAH ini berlaku di negara Mesir ketika pemerintahan Firaun yang terkenal sebagai pemerintah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Firaun ingkar kepada Allah dan membunuh sesiapa sahaja yang tidak mengakuinya sebagai tuhan. Pada ketika itu, ada seorang tukang andam istana bernama Siti Masitah yang beriman kepada Allah di istananya.
Suaminya bernama Hazaqil yang menjaga perbendaharaan kerajaan Mesir dan menjadi sahabat Firaun. Walaupun dia rapat dengan Firaun, hatinya sudah beriman kepada Allah. Pada suatu hari, Hazaqil tidak berpuas hati dengan hukuman mati yang dijatuhkan Firaun kepada 40 ahli sihir yang beriman kepada Allah. Dia berdebat dengan Firaun.
"Tuanku, saya tidak bersetuju dengan hukuman mati kepada ahli sihir kita. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara Mesir." Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Firaun.
"Mereka dihukum mati kerana tidak mengaku beta sebagai Tuhan mereka!" Firaun kelihatan marah dengan kata-kata Hazaqil itu.
"Sekiranya kamu mempertahankan nasib ahli sihir itu, beta percaya kamu sebenarnya juga salah seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah". Firaun mula berfikir mengapa Hazaqil mempertahankan nasib ahli sihir yang dihukum mati.
"Oleh kerana kamu salah seorang daripada mereka, beta jatuhkan hukuman mati ke atas kamu". Firaun tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman ke atas Hazaqil walaupun dia merupakan sahabat dan pegawai kerajaannya.
Hazaqil terus ditangkap oleh pegawai Firaun dan dibawa keluar dari istana. Dia diikat pada sebatang pohon kurma dan dipanah oleh pengawal Firaun sehingga mati. Kematian Hazaqil membuatkan hati Siti Masitah tidak tenteram dan hatinya semakin benci melihat muka Firaun yang membunuh suaminya.
Pada suatu pagi, Siti Masitah menyikat rambut puteri Firaun di bilik tidur. Pada mulanya dia menumpukan perhatian menyikat rambut puteri Firaun. Tiba-tiba hatinya teringat kepada Hazaqil yang mati dibunuh oleh Firaun kerana beriman kepada Allah. Jiwanya mula menjadi keluh resah sehingga dia hilang tumpuan. Justeru, sikat yang sedang dipegangnya terjatuh ke lantai.
"Allah". Kata Siti Masitah, lalu mengambil sikat dari lantai.
"Kamu akan dihukum kerana berkata begitu! Adakah tuhan lain selain bapa beta?" puteri Firaun bertanya kepada Siti Masitah dengan keras.
Siti Masitah tidak memohon maaf atas kata-katanya itu. Dia juga menyatakan ada tuhan lain yang patut disembah dan bukan bapanya.
Puteri Firaun terus mendapatkan ayahnya dan mengadu tentang apa yang diucapkan oleh Siti Masitah kepada Firaun. Firaun menjadi marah lalu memanggil Siti Masitah bagi dibicarakan.
"Siapakah Tuhan kamu?" bergema suara Firaun menakutkan Siti Masitah yang berdiri di hadapannya.
"Tuhan saya Allah," balas Siti Masitah dengan tenang dan berani.
"Kamu akan dijatuhkan hukuman berat atas kesalahan menghina beta!" Firaun memerintahkan pengawal memasak minyak panas di dalam sebuah kuali besar. Firaun juga memerintahkan tenteranya memanggil rakyatnya berkumpul dan melihat hukuman yang bakal dilaksanakan kepada Siti Masitah.
"Dengar rakyat semua, inilah hukuman kepada orang yang tidak mengaku beta sebagai Tuhan." Firaun terus memandang Siti Masitah. Dia berkata, "Beta berikan satu peluang terakhir kepada kamu, adakah kamu mengaku beta sebagai tuhan kamu?"
Sebelum Siti Masitah menjawab, syaitan datang lalu membisikkan hasutan di hatinya. "Kamu tidak sayang nyawa anak-anak kamu. Kamu tidak kasihan kepada bayi yang masih kecil itu. Beta tidak akan hukum kamu sekiranya kamu mengaku beta sebagai tuhan." Siti Masitah mula berjalan menaiki tangga menuju ke kuali besar yang berisi minyak mendidih.
"Wahai ibu, janganlah terpedaya dengan kata-kata syaitan yang dilaknat Allah. Kematian kita mendapat rahmat daripada Allah dan pintu syurga terbuka menanti kedatangan kita," tiba-tiba, bayi dalam gendongan Siti Masitah berkata dengan izin Allah.
"Allahhu Akbar!" teriak Siti Masitah lalu terjun bersama dua orang anaknya ke dalam kuali besar berisi minyak mendidih itu.
Rakyat Mesir yang hadir melihat kejadian itu terhenti nafas seketika melihat keimanan Siti Masitah dan dua orang anaknya yang rela berkorban demi mempertahankan kebenaran agama Allah. Tiba-tiba mereka tercium bau wangian harum keluar dari periuk besar berisi minyak mendidih itu apabila Siti Masitah dan dua orang anaknya menghembuskan nafas terakhir di dalam minyak mendidih itu.
Keteguhan iman Siti Masitah sekeluarga tidak disembunyikan daripada pengetahuan Firaun. Mereka berterus terang dan mendapat hukuman Firaun kerana mengejar cinta Allah yang lebih agung dan yang lebih dirindui.
Wednesday, February 25, 2009
Remaja dan masyarakat
"JOHAN, mari kita ke rumah Pak Ramli. Ada kenduri doa selamat," ujar ayah Johan, Pak Abu.
"Malaslah, Johan penat," balas Johan yang sedang leka menonton televisyen.
"Penat tengok televisyen? Apa nak jadilah anak ayah ni. Susah betul kalau nak ajak pergi kenduri atau ke majlis. Kalau pergi membeli-belah terutama sekali barang permainan komputer, dialah yang paling cepat tunggu dalam kereta. Nak-nak lagi kalau kawan dia ajak keluar," ujar Pak Abu sambil menggeleng-geleng kepala.
"Takpelah ayah. Kalau Johan tak datang pun, mereka pun tak rugi, kan?" selamba Johan menjawab sambil tersengih-sengih.
"Kau kena belajar hidup bermasyarakat, Johan. Kita tidak boleh selama-lamanya hidup seorang diri dan hanya terlingkup selesa dalam golongan kawan-kawan sahaja. Melalui bermasyarakat kita kenal siapa jiran, siapa kawan. Meluaskan pergaulan yang sihat dapat meluaskan kotak pemikiran. Tak lah terkongkong dengan pemikiran yang sama sahaja".
"Kalau tak nak pergi, sudahlah. Tapi ibu tak masak juga, ibu ada kat sana sejak pagi tadi, bantu masak. Pandai-pandailah cari makan. Ayah pergi dahulu," kata Pak Abu kepada Johan.
"Ohh.. laparlah saya…" keluh Johan.
Pasti Pak Abu ada tujuan di sebalik ajakan kepada Johan, bukan hanya setakat mengajak makan sehingga kenyang, kemudian balik. Tetapi ajakan seorang ibu atau bapa sudah tentunya membawa tanggungjawab sosial untuk hidup bermasyarakat. Namun, ramai remaja yang tidak faham akan kepentingan hidup bermasyarakat dan pentingnya peranan mereka dalam masyarakat.
Pentingnya Hidup Bermasyarakat
Pergaulan secara sihat amat dituntut oleh Islam. Bahkan Islam tidak menganjurkan pemeluknya mengasingkan diri daripada masyarakat. Dalam konteks remaja, mereka secara umumnya memiliki dorongan untuk bergaul dengan manusia lain agar dapat hidup berdampingan dengan sesamanya.
Untuk itu, remaja perlu memiliki kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan orang lain. Remaja menghabiskan sebahagian besar waktunya di dalam kelompok yang seusia dengan mereka serta mempunyai pola pemikiran yang lebih kurang sama.
Pergaulan sosial adalah suatu proses perubahan pada diri remaja dalam rangka penyesuaian diri dalam kehidupan bermasyarakat. Justeru, setiap individu akan menjalani proses tersebut sepanjang hidupnya, melakukan penyesuaian terus menerus dalam kehidupannya sebagai anggota masyarakat.
Dalam pandangan Islam, sebuah masyarakat adalah kumpulan individu yang berinteraksi secara berterusan, memiliki satu pemikiran, satu perasaan dan di bawah aturan yang sama agar terjalin hubungan yang aman dan harmoni.
Apabila ada sebahagian anggota masyarakat yang menderita, maka individu yang lain menolongnya dengan semampu mungkin. Begitu juga ketika ada salah seorang anggota masyarakat yang melakukan kesalahan ada individu yang lain menegur dan menasihatinya.
Masyarakat Melayu umpamanya menjadikan tempat berkenduri, majlis-majlis adat serta majlis agama di masjid bukan hanya sebagai tuntutan ibadat dan adat. Tetapi juga sebagai lapangan untuk mereka bertemu sesama sendiri dan bertanya khabar.
Interaksi sosial sebegini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan, tetapi juga memperkembangkan ruang lingkup pemikiran dan mendapat pengetahuan baru, hasil daripada percakapan, pengalaman dan tingkah laku seseorang anggota masyarakat yang lain.
Terdapat pelbagai peranan dalam setiap kelompok sosial. Dalam suatu organisasi, terdapat peranan sebagai ketua, pengurus, setiausaha dan sebagainya. Di keluarga terdapat fungsi sebagai ayah, ibu, anak. Di sekolah ada pengetua, guru, penjaga sekolah, pegawai pentadbiran dan sebagainya. Setiap peranan memiliki hak dan kewajipan yang berbeza.
Masa remaja merupakan suatu tahap yang menuntut remaja untuk melakukan penyesuaian sosial dari sudut pergaulan dengan teman-teman dan orang-orang di sekelilingnya ke arah pergaulan sebagai orang dewasa. Ini yang dikatakan sebagai transisi sosial.
Oleh itu, remaja perlu belajar agar kelak mampu menjalankan peranan yang sesuai dengan kedudukannya di suatu kelompok sosial. Ketika ia berada di sekolah, haruslah menjalankan peranannya sebagai pelajar. Tetapi ketika berada di rumah, peranan sebagai anak tidak boleh dilupakan. Apabila ia terlibat di suatu organisasi, maka peranan dan tanggung jawabnya di organisasi perlu dilakukan sebaik-baiknya.
Remaja dewasa ini harus memahami kepentingan hidup bermasyarakat. Mereka perlu diberi peluang menikmati kehidupan bermasyarakat, memahami masalah masyarakat dan mengambil bahagian dalam proses pembangunan sosial masyarakat.
Remaja seharusnya mampu membina kebolehan menabur khidmat untuk komuniti sebagai generasi baru yang mempunyai kesedaran terhadap tanggung jawab sosial, berkesedaran sivik dan mengutamakan solidariti masyarakat.
Namun begitu terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi selama bersosial sesama anggota masyarakat dengan sihat tanpa merugikan satu sama lain. Justeru, Islam menganjurkan dalam bermasyarakat, hendaklah sentiasa bersifat ihsan, berakhlak mulia dan sentiasa memahami antara kehendak dan keperluan masing-masing.
Amat penting juga untuk menitikberatkan peranan nasihat dan sabar dalam hidup bermasyarakat. Ini kerana bergaul atau berinteraksi dengan orang lain, sudah tentu akan mengakibatkan munculnya perasaan yang berbeza-beza pada setiap peribadi.
Lantaran itu, ukhuwah yang benar dan baik adalah saling memberikan nasihat kebaikan. Firman Allah SWT: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling berpesan-pesan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3)
Kesimpulan
Pembinaan watak remaja amat berkait rapat dengan masyarakat sekelilingnya. Anggota masyarakat yang baik dan beramanah akan membina masyarakat yang hidup dalam keadaan rukun dan harmoni serta membentuk generasi yang berdisiplin, bersemangat waja dan berketerampilan.
Masyarakat yang mempunyai budaya hidup yang kucar-kacir akan mencetuskan kecelaruan dan kekeliruan dalam anggotanya. Oleh itu, ibu bapa dan anggota masyarakat sangat berperanan dalam mendidik remaja agar dapat menyesuaikan diri dengan anggota masyarakat dan menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup bermasyarakat.
Pesan Abang???
Hutan Nirwana,25 Februari-Teringat sejenak kata-kata abang aku yang sulung ketika aku sedang melakukan amali di hutan ini.Ketika sahabat sekumpulan aku yang lain sibuk mengecam spesis pokok yang terdiri daripada pelbagai nama tempatan seperti engkabang jantung,terap,resak,belian dan macam-macam lagi tiba-tiba fikiran aku mengelamun sebentar teringat kata-kata abang aku..masih aku ingat lagi pesannya ketika itu semasa aku darjah dua,pesannya itu ialah,,Jadilah engkau seperti pohon pokok yang tumbuh meliar di dalam hutan seperti pokok tualang,meranti dan cengal yang tumbuh meliar di dalam hutan,yang tidak dibaja dan disiram tetapi tetap tumbuh juga.Jangan kamu jadi seperti pohon bunga yang cantik yang ditanam didalam pasu.Ianya perlu dibaja dan disiram setiap hari dan setiap waktu.Jikalau ia tidak dibaja dan disiram maka ianya akan mati.walaupun ianya indah dimata tetapi perlu penjagaan yang rapi...pesanannya ini menyebabkan aku sering terfikir dan tercari-cari apa makna kata-katanya itu..Akhirnya barulah aku sedar sekarang akan kata-katanya itu.Diharap para pembaca sekalian dapat mencari makna tersirat pesanannya itu dalam kehidupan anda sekalian
Subscribe to:
Posts (Atom)