Wednesday, February 25, 2009

Remaja dan masyarakat


"JOHAN, mari kita ke rumah Pak Ramli. Ada kenduri doa selamat," ujar ayah Johan, Pak Abu.

"Malaslah, Johan penat," balas Johan yang sedang leka menonton televisyen.

"Penat tengok televisyen? Apa nak jadilah anak ayah ni. Susah betul kalau nak ajak pergi kenduri atau ke majlis. Kalau pergi membeli-belah terutama sekali barang permainan komputer, dialah yang paling cepat tunggu dalam kereta. Nak-nak lagi kalau kawan dia ajak keluar," ujar Pak Abu sambil menggeleng-geleng kepala.

"Takpelah ayah. Kalau Johan tak datang pun, mereka pun tak rugi, kan?" selamba Johan menjawab sambil tersengih-sengih.

"Kau kena belajar hidup bermasyarakat, Johan. Kita tidak boleh selama-lamanya hidup seorang diri dan hanya terlingkup selesa dalam golongan kawan-kawan sahaja. Melalui bermasyarakat kita kenal siapa jiran, siapa kawan. Meluaskan pergaulan yang sihat dapat meluaskan kotak pemikiran. Tak lah terkongkong dengan pemikiran yang sama sahaja".

"Kalau tak nak pergi, sudahlah. Tapi ibu tak masak juga, ibu ada kat sana sejak pagi tadi, bantu masak. Pandai-pandailah cari makan. Ayah pergi dahulu," kata Pak Abu kepada Johan.

"Ohh.. laparlah saya…" keluh Johan.

Pasti Pak Abu ada tujuan di sebalik ajakan kepada Johan, bukan hanya setakat mengajak makan sehingga kenyang, kemudian balik. Tetapi ajakan seorang ibu atau bapa sudah tentunya membawa tanggungjawab sosial untuk hidup bermasyarakat. Namun, ramai remaja yang tidak faham akan kepentingan hidup bermasyarakat dan pentingnya peranan mereka dalam masyarakat.

Pentingnya Hidup Bermasyarakat

Pergaulan secara sihat amat dituntut oleh Islam. Bahkan Islam tidak menganjurkan pemeluknya mengasingkan diri daripada masyarakat. Dalam konteks remaja, mereka secara umumnya memiliki dorongan untuk bergaul dengan manusia lain agar dapat hidup berdampingan dengan sesamanya.

Untuk itu, remaja perlu memiliki kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan orang lain. Remaja menghabiskan sebahagian besar waktunya di dalam kelompok yang seusia dengan mereka serta mempunyai pola pemikiran yang lebih kurang sama.

Pergaulan sosial adalah suatu proses perubahan pada diri remaja dalam rangka penyesuaian diri dalam kehidupan bermasyarakat. Justeru, setiap individu akan menjalani proses tersebut sepanjang hidupnya, melakukan penyesuaian terus menerus dalam kehidupannya sebagai anggota masyarakat.

Dalam pandangan Islam, sebuah masyarakat adalah kumpulan individu yang berinteraksi secara berterusan, memiliki satu pemikiran, satu perasaan dan di bawah aturan yang sama agar terjalin hubungan yang aman dan harmoni.

Apabila ada sebahagian anggota masyarakat yang menderita, maka individu yang lain menolongnya dengan semampu mungkin. Begitu juga ketika ada salah seorang anggota masyarakat yang melakukan kesalahan ada individu yang lain menegur dan menasihatinya.

Masyarakat Melayu umpamanya menjadikan tempat berkenduri, majlis-majlis adat serta majlis agama di masjid bukan hanya sebagai tuntutan ibadat dan adat. Tetapi juga sebagai lapangan untuk mereka bertemu sesama sendiri dan bertanya khabar.

Interaksi sosial sebegini bukan sahaja bertujuan untuk mengeratkan hubungan, tetapi juga memperkembangkan ruang lingkup pemikiran dan mendapat pengetahuan baru, hasil daripada percakapan, pengalaman dan tingkah laku seseorang anggota masyarakat yang lain.

Terdapat pelbagai peranan dalam setiap kelompok sosial. Dalam suatu organisasi, terdapat peranan sebagai ketua, pengurus, setiausaha dan sebagainya. Di keluarga terdapat fungsi sebagai ayah, ibu, anak. Di sekolah ada pengetua, guru, penjaga sekolah, pegawai pentadbiran dan sebagainya. Setiap peranan memiliki hak dan kewajipan yang berbeza.

Masa remaja merupakan suatu tahap yang menuntut remaja untuk melakukan penyesuaian sosial dari sudut pergaulan dengan teman-teman dan orang-orang di sekelilingnya ke arah pergaulan sebagai orang dewasa. Ini yang dikatakan sebagai transisi sosial.

Oleh itu, remaja perlu belajar agar kelak mampu menjalankan peranan yang sesuai dengan kedudukannya di suatu kelompok sosial. Ketika ia berada di sekolah, haruslah menjalankan peranannya sebagai pelajar. Tetapi ketika berada di rumah, peranan sebagai anak tidak boleh dilupakan. Apabila ia terlibat di suatu organisasi, maka peranan dan tanggung jawabnya di organisasi perlu dilakukan sebaik-baiknya.

Remaja dewasa ini harus memahami kepentingan hidup bermasyarakat. Mereka perlu diberi peluang menikmati kehidupan bermasyarakat, memahami masalah masyarakat dan mengambil bahagian dalam proses pembangunan sosial masyarakat.

Remaja seharusnya mampu membina kebolehan menabur khidmat untuk komuniti sebagai generasi baru yang mempunyai kesedaran terhadap tanggung jawab sosial, berkesedaran sivik dan mengutamakan solidariti masyarakat.

Namun begitu terdapat batas-batas yang perlu dipatuhi selama bersosial sesama anggota masyarakat dengan sihat tanpa merugikan satu sama lain. Justeru, Islam menganjurkan dalam bermasyarakat, hendaklah sentiasa bersifat ihsan, berakhlak mulia dan sentiasa memahami antara kehendak dan keperluan masing-masing.

Amat penting juga untuk menitikberatkan peranan nasihat dan sabar dalam hidup bermasyarakat. Ini kerana bergaul atau berinteraksi dengan orang lain, sudah tentu akan mengakibatkan munculnya perasaan yang berbeza-beza pada setiap peribadi.

Lantaran itu, ukhuwah yang benar dan baik adalah saling memberikan nasihat kebaikan. Firman Allah SWT: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan saling berpesan-pesan kebenaran dan saling berpesan-pesan dengan kesabaran. (al-Asr: 1-3)

Kesimpulan

Pembinaan watak remaja amat berkait rapat dengan masyarakat sekelilingnya. Anggota masyarakat yang baik dan beramanah akan membina masyarakat yang hidup dalam keadaan rukun dan harmoni serta membentuk generasi yang berdisiplin, bersemangat waja dan berketerampilan.

Masyarakat yang mempunyai budaya hidup yang kucar-kacir akan mencetuskan kecelaruan dan kekeliruan dalam anggotanya. Oleh itu, ibu bapa dan anggota masyarakat sangat berperanan dalam mendidik remaja agar dapat menyesuaikan diri dengan anggota masyarakat dan menerapkan nilai-nilai murni dalam hidup bermasyarakat.

No comments: